KEREDHAAN DAN KESAKITAN MAUT
Sumber: Buku Himpunan Nasihat Buat Renungan
Sesungguhnya ketika di ambang sakaratul maut, manusia akan cemas. Kekuatannya telah kendur. Nyawa berebut-rebut hendak keluar dan sebelum keluar pasti akan terdengar bisikan malaikat maut membawa khabar iaitu sama ada, "Takutlah wahai musuh Allah akan neraka!" atau "Gembiralah wali Allah akan syurga."
Rasulullah SAW bersabda, "Tidak keluar salah seorang daripada kamu daripada dunia sebelum mengetahui di mana kamu akan ditempatkan dan melihat pula tempatnya itu sama ada syurga atau neraka." Syaddad bin Aus mengatakan, "Maut itu ialah kepedihan yang paling mengerikan bagi orang mukmin. Kepedihannya lebih dahsyat daripada dipotong dengan gergaji, digunting atau dipanaskan dengan tungku. Jikalau maut, tidak bergunalah lagi kehidupan dan tiadalah lagi merasai nikmat tidur."
Rasulullah SAW bersabda, "Ingatlah kepada maut, kepedihannya dan kesakitannya. Maut itu sama dengan tiga ratus pukulan pedang. Sesungguhnya maut paling ringan umpama kawat jeruji menjerat kambing yang mana apabila kambing terlepas pasti ada bulu yang tersangkut padanya."
Diriwatkan bahawa Nabi Musa as pernah ditanya oleh Allah SWT tentang maut yang dihadapinya dan beliau menjelaskan, "Jiwaku dirasakan bagai burung digoreng atas kuali tetapi tidak mati, hendak beristirahat tetapi tidak selamat dan kemudian dirasakan terbang."
Umar ra bertanya kepada Ka'ab Al-Akhbar tentang maut lali Ka'ab menjelaskan, "Maut itu umpama kayu berduri dimasukkan ke dalam perut seseorang. Setiap duri berakar. Kemudian ianya ditarik dengan kuat hingga terambil apa yang diambil dan tertinggal apa yang tinggal." Sabda Rasulullah SAW, 'Ketika hamba dihampiri kepedihan maut dan sakaratnya, sendi-sendi memberi salam antara satu sama lain. Ianya berkata, "Selamat buatmu. Engkau meninggalkan kami dan kami meninggalkanmu hingga hari qiamat."
Selain kepedihan ketika nyawa dicabut, manusia akan ngeri melihat rupa malaikat. Namun indah atau buruknya rupa malaikat maut bergantung kepada amalan masing-masing. Diriwayatkan bahawa Ibrahim Al-Khalil as meminta malaikat maut supaya memperlihatkan rupa ketika mencabut nyawa orang yang banyak dosa. Malaikat maut mengingatkan Ibrahim yang dia tidak akan sanggup melihatnya. Malaikat maut menyuruh Ibrahim berpaling daripadanya. Kemudian Ibrahim menoleh kembali. Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki berwajah hitam, rambut berdiri, berbau busuk dan pakaian kotor dan hitam. Nyalaan api dan asap keluar daripada mulutnya dan hidungnya. Ibrahim pengsan. Apabila dia tersedar dia berkata, "Itu sudah cukup mengerikan jikalau orang yang banyak dosa melihatnya."
Difahamkan bahawa para Nabi hanya merasakan kedahsyatan nazak tanpa ketakutan melihat rupa malaikat maut. Diriwayatkan bahawa Isa as terjumpa tengkorak. Beliau menyentuhnya dengan kaki sambil berkata, "Dengan izin Allah, berbicaralah engkau." Tengkorak itu pun berkata, "Wahai Rasulullah aku ialah raja pada zamanku. Pada suatu hari, sedang aku duduk di singgahsana dikelilingi bala tentera dan para pelayanku, aku terlihat malaikat maut. Anggota badanku begitu gementar sehingga nyawaku melayang."
Rasulullah saw bersabda, "Mati mendadak menjadi harapan orang mukmin dan menjadi keluhan bagi orang yang derhaka." Sebelum seseorang itu menemui ajalnya, dia akan didatangi dua malaikat yang menulis amalnya. Jikalau dia seorang yang taat, kedua-dua malaikat itu akan berkata, "Semoga Allah membalas kebaikanmu." Dan jikalau dia seorang yang banyak dosa, malaikat tersebut akan berkata, "Semoga Allah membalas keburukanmu."
Diriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim as telah meminta malaikat maut supaya memperlihatkan rupa ketika mencabut nyawa orang mukmin. Malaikat maut memperlihatkan rupa pemuda tampan, berbau harum dan berpakaian indah. Disimpulkan bahawa orang yang taat akan melihat malaikat maut dalam keadaan dan rupa yang terbaik.
(Sekiranya terdapat kesalahan. Mohon ditegur. Terima Kasih ^^)
No comments:
Post a Comment