Friday 27 May 2016

Contoh Karangan (MARA) -BahasaMelayu-



Karangan mengenai perihal diri, perancangan pengajian dan kerjaya.

Nama diberi Nurliyana Athirah Binti Abd Ramli, dilahirkan di Hospital Kajang, Selangor. Saya merupakan anak sulong daripada tiga orang adik-beradik. Semasa darjah satu, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lubok Kelubi, Hulu Langat, Selangor untuk  beberapa minggu. Kemudian, saya bersekolah pula di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1)  selama setahun sahaja kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun yang sama. Lalu, ayah saya membawa kami berpindah semula ke Hulu Langat, Selangor dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lubok Kelubi dari darjah dua sehingga darjah lima. Semasa saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lubok Kelubi, prestasi saya dalam pelajaran kurang memuaskan. Tetapi semasa darjah enam, kami berpindah pula ke Seri Kembangan kerana ayah saya bekerja di Putrajaya.  Ketika itu saya menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) dan Alhamdulillah prestasi saya dalam pelajaran meningkat secara mendadak. Selepas itu, saya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) dari tingkatan satu sehingga tingkatan lima. Sekali lagi, Alhamdulillah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia saya agak memuaskan dengan berkat doa, dorongan  dan bantuan daripada ayah, guru-guru, serta rakan-rakan.

Sekarang ini, saya ingin menyambung pelajaran saya di Universiti Kuala Lumpur Micet dalam program diploma iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (Makanan) di Melaka. Sebelum ini saya sudah mempunyai minat dalam Teknologi Makanan kerana bagi saya tidak ramai yang mahu menceburi dalam bidang tersebut kerana kurang diberikan pendedahan. Seperti yang kita tahu  makanan merupakan satu keperluan asas dalam kehidupan seharian. Makanan boleh mempengaruhi tahap kesihatan dan kecerdasan seseorang. Tambahan pula, masyarakat masa kini begitu mengambil berat tehadap tahap kualiti sesuatu makanan. Pada waktu yang sama, saya mendapati industri makanan di negara kita sedang berkembang secara meluas. Oleh itu, saya sangat berharap agar saya boleh memberi sumbangan dalam memastikan masyarakat boleh mendapatkan kualiti yang terbaik dalam pemakanan mereka.

Setelah saya menamatkan program diploma, saya berhasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah supaya saya boleh membalas jasa bapa saya yang banyak bekorban selama ini. Di samping saya mahu menjadi contoh yang terbaik untuk adik-adik saya seperti yang diharapkan oleh ayah saya. Saya percaya sekiranya saya boleh menunjukkan prestasi yang baik sepanjang saya melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut, saya boleh membakar semangat kepada adik-adik saya supaya bersungguh-sungguh untuk memajukan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. InsyaAllah. Sebaik sahaja saya tamat pengajian, saya akan berusaha mencari pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang saya ceburi agar apa yang saya pelajari dapat memberi sumbangan kepada masyarakat. 

Sekian sahaja perihal mengenai saya, perancangan pengajian dan kerjaya yang ingin saya laksanakan.

No comments:

Kawan2ku ^.~